Saturday, July 26, 2008

Peribadi Rasullullah s.a.w

Assalamu'laikum wtb

Untuk renungan bersama, lihatlah betapa indahnya perwatakan Rasulullah SAW

Dipetik dari buku Sirah Rasulullah S.A.W oleh Syaikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri, m/s 872

Subhanallah

Ummu Ma'bad al-Khuzai'yah mengisahkan mengenai diri Rasulullah SAW, .......
katanya " Jelas bercahaya, putih muka, comel perwatakan, berbadan besar yang tidak mencacatkan, kepala kecil yang tidak memenatkan, keseluruhan badan cantik dan menarik, anak matanya hitam, bulu matanya panjang, suaranya besar dan kasar, berleher jinjang, bermata luas, bagaikan bercelak, berkening panjang dan tebal, berambut hitam, ketika Baginda berdiam kelihatan hebat, ketika bercakap tertonjol kesegaran dan ceria, dari jauh lagi kelihatan seorang yang cantik dan segak, dari dekat pula kelihatan manis dan menarik, sopan pertuturannya, berbudi tidak teragak-agak percakapannya dan tidak meleter. Percakapan Baginda bagaikan langkahan atau sulaman yang teratur rapi, tinggi susuk tubuh Rasulullah tidak menjelekkan mata memandang atau pendek menghairankan perhatian, bagaikan dahan di antara dua dahan yang lain yang terindah pandangan di antara yang tiga, yang terbaik penilaian, Baginda mempunyai taulan pengikut yang memberi khidmat kepadanya, bila Baginda bercakap semua mereka berdiam untuk mendengar katanya. Bila memerintah semua mereka bersegera melaksanakan suruhannya, penuh kesanggupan dan penyertaan tanpa bermasam muka atau mencanggahinya."

Kata Ali bin Abi Talib, meyifat diri Rasulullah
" Baginda bukanlah jenis yang panjang rencong atau pendek bantut, ketinggian badan Baginda adalah sedang, berambut ikal mayang, tidak kerinting atau lurus, mukanya tidak tembam atau bergelambir,. Kelihatan muka bulat, putih kemerahan, bermata hitam gelap, berbulu mata tebal dan panjang, bertulang sendi dan bahu yang gagah, berbulu dada nipis,keseluruhan badan tidak berbulu, jari tangan dan kaki yang gagah, semasa berjalan Baginda kelihatan kemas dan lincah, apabila berpaling Baginda berpaling seluruh badan, terdapat di antara bahu Baginda tanda alamat penutup sekalian nabi dan Baginda adalah penutup sekalian nabi, manusia paling pemurah, berani orangnya, paling benar apabila bercakap, setepat lelaki menunai janji, sehalus insan berbudi bahasa, semulia pemurah dalam pergaulan, sesiapa melihat Baginda secara mendadak terasa gerun, sesiapa bergaul dengan Baginda terasa kasih, kata beliau; Belum pernah ku lihat sebelum dan selepasnya orang menyerupai Baginda"

WALLAHUA'LAM

APABILA KAU MELIHAT PERAWAKAN MUKANYA
SINAR BAGAIKAN CAHAYA MELINTASI AWAN DIUFUK
RASUL AL-AMIN MEMOHON KEBAIKAN
BAGAIKAN BULAN MEMBELAH KEGELAPAN
SEKIRANYA TUAN BUKAN MANUSIA
PASTI KAU MENERANGI DI MALAM PURNAMA

No comments: