Sunday, August 31, 2008

Fadhilat Ramadhan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Firman Allah Taala yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu puasa, sebagaimana difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa." (Surah al-Baqarah : 183).

Daripada Abu Hurairah RA. : Sesungguhnya Rasululllah SAW. telah bersabda : "Apabila datangnya Ramadhan dibuka pintu syurga, dikunci pintu neraka dan dirantai Syaitan-syaitan." (Hadis Riwayat Bukhori dan Muslim).

Tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari yang dihormati :
Kita telah sedia maklum bahawa bulan ramadhan adalah bulan yang mulia di sisi Allah dan RasulNya. Oleh itu, kita sepatutnya memuliakan kedatangan bulan ini. Kali ini, saya membentangkan beberapa buah hadis sohih yang berkaitan tentang fadhilat Ramadhan untuk dibaca, difahami, direnungi, diyakini, diamalkan dan disampaikan kepada orang lain. Mudah-mudahan kita semua mendapat manfaat dan ganjaran daripada Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah RA. : Sesungguhnya Rasululllah SAW. telah bersabda : "Puasa itu perisai. Jangan berkata keji dan jangan mengumpat. Jika seseorang menyakitinya atau memaki hamunnya, maka katakanlah : Sesungguhnya aku berpuasa (2 kali). Dan yang diri Muhammad SAW. di tanganNya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada kasturi. Hambaku meninggalkan makan minumnya dan syahwatnya kerana aku. Puasa itu bagiKu dan Akulah yang memberi pahalanya. Dan kebaikan itu digandakan 10 kali pahala seumpamanya." (Hadis Riwayat Bukhori).

Daripada Abu Hurairah RA. : Telah bersabda Rasululllah SAW. : Allah SWT. telah berfirman yang : "Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa; kerana sesungguhnya puasa itu bagiKu dan Akulah yang memberi ganjarannya. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu berpuasa, janganlah berkata keji, mengumpat dan berbalah. Jika dimaki hamun seseorang atau menyakitinya, maka katakanlah : 'sesungguhnya aku berpuasa'. Dan yang diri Muhammad SAW. di tanganNya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada kasturi. Dan bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan. Gembira ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya kerana puasanya." (Hadis Qudsi Riwayat Bukhori).

Daripada Sahlin RA. : Sesungguhnya Rasululllah SAW. telah bersabda : "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dipanggil 'ar-Rayyan'. Orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat. Tidak masuk melaluinya seorangpun selain mereka (orang-orang yang berpuasa). Dikatakan : 'Di manakah orang-orang yang berpuasa. Lalu mereka berdiri, dan tidak masuk melaluinya seorangpun selain mereka. Apabila mereka masuk, pintu itupun ditutup. Tidak pernah masuk melaluinya seorangpun." (Hadis Riwayat Bukhori).

Daripada Abu Hurairah RA. : Telah bersabda Rasulullah SAW. : "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan menghidupkannya dengan penuh keimanan dan ketaatan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu, dan sesiapa yang menghidupkan malam 'Lailatul Qadar' dengan penuh keimanan dan ketaatan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu". (Hadis Riwayat Termizi).

Telah bersabda Rasulullah SAW. : "Ramadhan ke Ramadhan, dan Jumaat ke Jumaat, dan sembahyang ke sembahyang, menghapuskan dosa antaranya, jika menjauhi dosa-dosa besar". (Hadis Sohih Riwayat Ahmad, Muslim dan Baihaqi).

Telah bersabda Rasulullah SAW. : "Ia (Ramadhan) ialah bulan sabar, dan sabar itu pahalanya syurga." (Hadis Sohih Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi).

Telah bersabda Rasulullah SAW. : "Awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan Allah, dan akhirnya pelepasan dari Neraka." (Hadis Sohih Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi).

Daripada Ibnu Umar RA. : Telah bersabda Rasululllah SAW. : "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan yang dusta serta beramal dengan perbuatan yang batil dan tohmah, maka Allah tidak memandang dan tidak menerima puasa tersebut." (Hadis Riwayat Bukhori).

Daripada Abdullah RA. : Ketika kami bersama Rasulullah SAW, baginda bersabda : "Sesiapa yang berkeinginan untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin, kerana kahwin itu menjaga pandangan dan kehormatan. Barangsiapa yang tidak berupaya maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat mengurangkan syahwat." (Hadis Riwayat Bukhori).


Sekian. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Al-Firdausi ;
Kuliah Syariah dan Undang-undang,
Universiti Al-Azhar,
Tanta, Mesir.

1 comment:

Ahliahnizam said...

Good info. Mohon izin tuan untuk copy-paste artikel ini ke blog saya.

http://www.ahliahnizam.blogspot.com